Tuesday, May 14, 2019

Cara Melatih Anak Kecil Berpuasa

Hari ni genap seminggu dua hari umat Islam di Malaysia berpuasa insya Allah. Sebenarnya hari ketiga puasa lagi dah kedengaran bunyi mercun...

Teringat beberapa tahun yang lepas, 2016-2017, masa tu tinggal di Kelantan, sehari setiap minggu ada kelas di Tanah Merah, jadi kebetulan tahun 2017 tu, hari puasa pertama ada kelas di HTM (hospital Tanah Merah). Lebih kurang sejam juga drive dari Kota Bharu. Lepas sahur, solat, ready semua bertolak seperti biasa. Keluar pukul 8am, pukul 9pagi sampai lah. Traffik jem cuma sikit masa nak keluar dari KB, lepas tu jangan clear cuma kat round about dekat Pasir Mas tu, ada beratur sikit sebab construction.

Yang paling menghampakan, separuh je dari bilangan pelajar yang hadir. Bila tanya, mana kawan2 yang lain? Dia orang puasa.

Eh, kita ni tak puasa ke? Tension juga tapi nak buat macam mana. Di peringkat university tak sama dengan sekolah. Kehadiran bukanlah wajib 100%.

Anyway, berbalik kepada kenangan-kenangan sepanjang berbulan puasa. Banyak pahit manis.

Selalu cerita kepada anak-anak sendiri, kenangan berpuasa pertama. Masa tu adik bungsu dan adik no4 masih belum puasa. Saya anak yang ketiga dengan kakak-kakak semua puasa. Pagi tu pulak Mak gorengkan fries untuk adik-adik. Ya Allah, sedapnya bau, laparnya perut, dan rasa sangat tak adil adik-adik tak perlu puasa dan kita pulak dapat cium je bau kentang goreng. Mungkin masa tu darjah tiga atau empat, tak pasti.

Lapar dan geram tu surut, mungkin lari naik atas atau masuk bilik supaya terlupa. Kemudian, beberapa ketika lepas tu, teringat saya turun ke bawah dan lalu meja makan, lepas tu ternampak chips yang Mak goreng tadi. La, tak habis makan pun, terlintas di hati saya. Lepas tu baru perasan, kiri kanan takde orang. Terdetik di hati, nak lah makan chips tu, mmmmm, sedapnya, saya pun apa lagi, ambil 2-3 terus masuk mulut makan, nyap nyap. Sejuk, ye lah, mana sempat nak panaskan dulu, jadi rasa pun takde lah sedap mana.

Lepas tu hilang lah 'nikmat' puasa, sebab diri sendiri tau yang diri sendiri dah makan dengan sengaja. Menyesal tapi nak buat macam mana. Tak boleh pegi ke masa silam dan ubah. Teruskan buat-buat macam puasa sampai buka, tapi 'nikmat' buka pun tak sama dengan orang yang berpuasa. Sebab tak puasa, kan? Cerita ni saya suka beritahu kepada anak-anak, sedikit pengajaran tentang bersabar, dan nikmat puasa tu, kalau kita dah buka awal-awal, tak sama. Lagi satu, self regulation, puasa ni bukan macam solat, orang lain pun tak tau sama ada kita betul-betul puasa atau tak. Boleh je ikutkan makan atau minum curi-curi masa orang lain takde atau tak nampak. Tapi, diri sendiri yang tahu.

Ok, selain tu suka juga cerita kat anak-anak beberapa kisah benar dan lawak bulan puasa sebagai selingan dan hiburan.

Pernah balik dari kerja atas kelas, masa tu panas sangat, haus sangat, terus buka fridge, ambik ais, buat air dalam cawan besar, minum gelegup, gelegup, gelegup, sampai habis. Ahhh....leganya, lepas tu baru teringat, eh, puasa!

Batal tak? Tak batal sebab terlupa dan tak sengaja. Ha, itu nama dia rezeki di bulan puasa. Lepas tu sambung lah puasa macam biasa.

Ada pulak kes kawan, terlupa juga tengah puasa, nampak makanan, ambil terus masuk mulut kunyah. Benda pedas. Lepas tu teringat puasa. Terus ludah keluarkan, kumur-kumur buang makanan dalam mulut, tapi kepedasan la lepas tu, dah la tak boleh nak minum air untuk hilangkan pedas. Tahan je la.

Kenangan buka puasa di maktab. Ada kawan yang turun sahur pakai baju terbalik. Bukan orang perasan pun. Ada sekali tu semua dah duduk nak buka puasa. Dalam homeroom ada seorang kawan ni orang Kelantan. Dia bawa budu ke cencalok, saya pun tak pasti. Makanan eksotik yang saya pun sampai sekarang takde la suka sangat. Offer kepada saya dan kawan seorang lagi ni, dia pun orang KL. Saya declined politely sebab dah tau, tak suka, kawan ni pulak adventerous, terima offer.

Masa buka, makan sikit, terus kawan tu bangun pegi sink. Eh, saya pun heran kenapa tapi sibuk buka puasa kan, mana nak kisah. Then bila kawan datang balik dia cakap lah, tak boleh la nak makan, rasa nak muntah, tu yang bangun terus buang keluarkan makanan tu and kumur kat sink. Macam-macam.

Masa di Ireland pula, zaman single sebelum ada anak-anak, rajin juga mengayuh basikal untuk buka puasa free di Dublin mosque di South Circular Road. Sedap sungguh ayam tandoori hidang dalam dulang/talam makan berenam. Macam-macam gelagat anak-anak Arab yang suka berlari-lari dalam masjid masa solat maghrib. Yang best, tukang masak dan edar makanan semua lelaki dan dia orang mesti cakap "sisters first" agihkan makanan kepada perempuan dahulu, jadi kami lah dapat makan dulu. Alhamdulillah. Beza kot kalau kat Malaysia, perempuan biasa hidangkan makanan untuk lelaki. Entah, kat Malaysia dan setelah ada anak-anak kecil, memang lagi selesa buka puasa di rumah je.

Lagi satu yang agak kelakar, kawan2 Irish sekelas heran kami berpuasa dan siap cakap, takpe, nanti kita orang tolong pas-pas kan coklat dalam kelas, seolah-olah kami ni terpaksa puasa....Ye lah, culture shock, sebab memang dia orang pun takde puasa dan makan je 365 hari setahun, dan mungkin juga first time berkawan dengan orang Islam. Jadi kami pun terangkan je yang kami ni betul-betul puasa, memang nak puasa, takde orang paksa buat pun.

Pernah juga buka puasa makan coklat dalam kelas, masa kerja, makan je apa yang ada. Kemudian lepas habis kelas/kerja, baru cari makanan buka yang 'proper'. Tapi kalau raya tu, macam-macam jamuan buat. Kalah raya kat Malaysia. Biasa buat laksa penang, pernah juga buat satay, rendang, lodeh, ketupat yang ekspress la kan, alhamdulillah ada yang segera.

Anak sulung lahir 2 hari sebelum bulan puasa. Nasib dia lahir bulan oktober, masa bulan disember masih cuti bersalin, ganti puasa buka pukul 4petang. Alhamdulillah.

Anak-anak yang lain, semua "merasa" puasa dalam perut. Masa mengandung, memang kelaparan. Masa puasa lagi lah lapar tapi alhamdulillah, boleh sebenarnya. Bergantung pada orang lah ya. Saya ok. Anak yang kedua dan keempat memang untung bulan puasa mula lepas first trimester, jadi masa tu dah tak loya dan boleh makan banyak. Bila puasa, berat pun tak naik sangat. Habis je bulan puasa, berat badan pun naiklah.

Lepas tu kenangan training anak mula berpuasa. Ha ni lagi satu dugaan. Mula-mula dia orang ok, dah nak dekat buka puasa, dalam sejam gitu baru tak tahan lapar, dan mula nak buat "fridge break". Masa ni umur dia orang dalam darjah 1-3. Terus je meluru ke fridge, buka dan ambil apa-apa untuk masukkan dalam mulut. Masa tu mak dan maid-maid kena waspada, terus ambil dari tangan dan tutup fridge, suruh bertahan sikit lagi sebab tak lama dah nak buka puasa. Macam tu lah beberapa kali petang tu. Bila buka, ok, alhamdulillah. Hari-hari seterusnya dah ok because they know what to expect.

Anak yang no3 pulak, mula lagi awal, masa tadika dah boleh puasa, tapi tak penuh. Bila enam tahun dah boleh puasa full. Buka masa maghrib. Cabaran maid pula suka bagi makan bila balik dari tadika tengah hari. So kena train maid juga untuk kuat.

Sekarang anak sulung dan no2 dah masuk asrama. Tahun lepas, kali pertama anak puasa di asrama. Mak la yang rajin telefon setiap hari, takut anak tak bangun sahur. Call bertalu2 sampai jawab. Tu pun ada juga hari-hari yang terbabas, anak kata dah bangun, baring jap, tertidur terus, sedar-sedar dah nak habis waktu jadi makan minum apa ada dalam locker. So kalau anak dok asrama, pastikan supplies makan minum tu ada lah.

Tahun ni alhamdulillah, tinggal seorang je anak yang puasa. Yang bungsu belum mula training lagi, mungkin tahun depan boleh buat half day. Tengok macam mana. Yang 3 yang lain semua ok alhamdulillah. Seronok kan pengalaman di bulan ramadhan. Nanti yang akan datang macam mana agaknya...