Alhamdulillah, malam ni nak buat coretan sedikit tentang petua dan strategi kejayaan anak-anak dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Semua anak-anak kami masukkan ke tadika seawal mungkin (4 tahun), ada juga yang masuk ke daycare/pusat jagaan harian walaupun kami ada maid/bibik Indonesia kerana:
1) Ibubapa kerja sepenuh masa
2) Tiada keluarga atau sedara-mara berdekatan yang dapat membantu
3) Untuk anak bungsu, di rumah tiada kawan kerana semua adik-beradik telah bersekolah.
Bagi saya, tiada cara yang betul atau salah untuk dapatkan pendidikan anak-anak, pilihlah yang sesuai dengan keadaan setiap keluarga.
Saya hanya berkongsi berdasarkan pengalaman sendiri. Alhamdulillah dua orang anak telah berjaya mendapat tempat sebagai pelajar terbaik SPM di MRSM Taiping pada tahun 2020 (promax) bersama 5 pelajar yang lain (8A+,1A) dan seorang lagi anak menjadi pelajar terbaik IGCSE 2021 MRSM KKB.
Anak yang ketiga masih di asrama semasa entri blog ini ditulis dan anak bungsu pula masih di sekolah rendah.
Kalau boleh, pilih tadika yang terbaik dan dekat dengan rumah. Cara memilih tadika terbaik adalah, semasa anak sulung, saya lihat kawan2 sebaya yang cemerlang akademik dan bertanya ibu mereka di mana tadika yang mereka pergi sebelum ke sekolah, dan menghantar anak no2 & 3 ke tadika tersebut.
Kalau boleh pastikan anak dah pandai membaca sebelum masuk darjah 1 untuk mengelakkan masuk ke kelas pelajar lemah/pemulihan (saya tak pasti sama ada masih ada sistem ini atau tidak kerana mengalaminya pada tahun 2010.
Boleh beli atau dapatkan buku khas membaca jika anak perlukan bantuan.
Untuk pilihan sekolah rendah pula boleh pilih yang paling dekat dengan rumah untuk memudahkan urusan. Jika ada pilihan sekolah berprestasi tinggi atau kluster kecemerlangan, sekolah ini lebih baik dari sekolah biasa.
Jika ada kelapangan, bantu la sekolah sebanyak mungkin. Boleh jadi AJK PIBG, sekarang ada kumpulan sokongan ibubapa, sukarelawan, dan boleh juga sumbangkan wang atau kepakaran. Yang pastinya sekolah amat memerlukan dan menghargai sokongan ibubapa.
Ibubapa perlu kenal guru kelas anak masing-masing.
Semasa anak sulung, memang saya survey habis semua sekolah termasuk sekolah private dan juga homeschooling. Keputusan dibuat berdasarkan nasihat seorang kawan yang juga guru sekolah: hantar lah ke SK terdekat dengan rumah. Jika anak ada masalah atau lemah mana-mana subjek maka hantar lah tuisyen, maka ini pendekatan yang kami guna sampai sekarang.
Ini sebenarnya adalah penghargaan kepada standard pengajaran dan pembelajaran sekolah kerajaan di Malaysia buat masa ini.
Jika sekolah ada locker berbayar, kami sewakan untuk memudahkan anak-anak supaya tidak perlu membawa beg yang terlalu berat.
Dulu semasa ada UPSR, kami akan menghantar anak ke kelas tambahan yang diadakan oleh sekolah.
Kami juga menghantar semua anak ke KAFA dari darjah 1 (Selangor) atau darjah 2 (Kelantan) sehingga darjah 6, mereka mengambil peperiksaan UPKK semasa darjah 5 (6 semasa covid) dan PSRA di Selangor semasa darjah 6.
Untuk anak bungsu, lambat sedikit mula Tahsin pada September darjah 2 kerana covid serta masalah transport. KAFA di darjah 4 kemudian berhenti sementara untuk fokus kepada SK. Jadi pendekatan untuk setiap anak mungkin berbeza mengikut keadaan masing-masing.
UPKK dan PSRA adalah penting jika anak nak masuk sekolah agama/MRSM ulul-albab. Jika tidak, pengetahuan itu berguna untuk hidup seharian insya Allah.
Selain itu, kami juga memastikan anak-anak mengaji secara one-to-one bersama ustazah yang dapat datang ke rumah sekali seminggu. Ada ustazah dari KAFA, yang jumpa online dan juga ustazah dari SK, mengaji sehingga khatam Quran sekali.
Semasa di sekolah rendah, kami memastikan semua anak pergi kelas berenang sampai pandai berenang. Biasanya ada sekali seminggu di mana-mana tempat berdekatan.
Untuk aktiviti koko sekolah, anak bebas memilih mengikut selera masing-masing namun begitu semua akan masuk taekwondo selama 6 bulan. Buat masa ini tiada yang berminat untuk sambung selepas 6 bulan tersebut.
Selain itu, untuk mendapatkan study habit yang baik dan konsisten, semua anak kami masukkan dalam program Kumon untuk subjek matematik, sama ada satu atau dua kelas seminggu. Latihan tubi di rumah 10 minit setiap hari. Pernah juga cuba untuk subjek bahasa Inggeris tetapi tidak sama keberkesanan berbanding program matematik.
Untuk sekolah menengah pula semua berpeluang memasuki sekolah berasrama penuh sama ada MRSM/SBP dari tingkatan 1 atau 4. Alhamdulillah.
Jika anak masuk SMK dan prestasi akademik kurang memberangsangkan, cari lah pusat tuisyen berdekatan yang mempunyai track record yang baik dan hantar lah anak untuk kelas tambahan.
Bagi anak yang di asrama penuh, jika memerlukan bantuan boleh la hantar tuisyen semasa cuti sekolah.
Itu sahaja coretan setakat ini.